Berita Terkini

Selebriti-selebriti yang meninggal dunia pada tahun 2013

Selebriti-selebriti tempatan


Azean Irdawaty meninggal dunia

Primadona  filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya Selangor malam (17 Disember 2013).

Allahyarham menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit kanser dan lymphedema yang dihidapinya.

Difahamkan, pelakon itu meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam di depan suaminya. Khairil Anwar dan juga anak-anak.

Allahyarham merupakan pelakon yang mula mencipta nama sebagai penyanyi pada era 70-an dan namanya meledak di layar perak akhir 70-an setelah membintangi filem Esok Masih Ada arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Di layar perak, Azean merupakan pemenang sebanyak dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun 1980 menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada tahun 1982.

Allahyarhamah cukup dikenali menerusi watak Auntie Zai lakonan terbaiknya dalam filem Layar Lara arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba.

Menerusi watak Tok Wan dalam filem Waris Jari Hantu, sekali lagi Allahyarhamah membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM pada 2008.

Filem terakhir lakonannya ialah menerusi filem terakhir arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Talentime pada tahun 2009.

Selain filem, Allahyarhamah turut dikenali di skrin televisyen antaranya drama Aishah 50 Sen, Ratu Jamu, Kembali dan Najihah.

Allahyarhamah meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.  [Sinar Harian]


Pelakon Ahmad Busu Meninggal Dunia Akibat Strok

Pelakon Ahmad Busu Meninggal Dunia Akibat Strok
Pelakon dan pelawak Ahmad Busu, 60, yang popular pada tahun 80-an meninggal dunia akibat penyakit strok selepas maghrib pada Ahad, di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Berita kematian pelakon komedi yang terkenal melalui watak Mat Deris dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu disahkan oleh Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Datuk Freddie Fernandez yang mendapat perkhabaran itu daripada sahabat baik allahyarham, pelawak Hamid Gurkha.

Sementara itu, rakan baik Allahyarham pelawak Imuda, 53, berkata jenazah akan dibawa pulang di kediamannya di Taman Seri Andalas, Klang dan dikebumikan pada pagi Isnin.

"Saya dapat tahu tentang pemergian Allahyarham daripada salah seorang anaknya kira-kira selepas maghrib tadi, buat masa ini jenazah masih di hospital.

"Saya difahamkan jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya dan akan disembahyangkan di Masjid Lipat Kajang, Seri Andalas, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam," katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan juga tiga orang anak.  [mStar / Utusan Malaysia]


Noreen Noor meninggal dunia

Pelakon dan penyanyi era 80-an, Noreen Noor, 54, meninggal dunia pada pukul 5.50 pagi Selasa di Hospital Ampang Puteri, Selangor.

Menurut penyanyi Norshila Amin, Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Jenazah akan dikebumikan di Kampung Pulai, Serkam, Merlimau, Melaka selepas solat Zohor.

Menurut Norshila, Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada malam Isnin dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia awal pagi ini.

"Hanya rakan-rakan rapat sahaja mengetahui keadaannya dan berita kehilangannya sangat mengejutkan kerana Allahyarham seorang yang ceria," ujarnya.

Noreen pernah popular menerusi lagu Siang Terbayang Malam Merindu.  Selain menyanyi, beliau juga popular di layar perak. Filem pertama lakonannya, Talak pada tahun 1980.

Antara filem lain yang pernah dibintanginya adalah Hantu Siang, Wira Angkasa dan Pelumba Malam.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak.. - 22/10/13  [Mstar]


Pelakon Maimon Mutalib meninggal dunia

Pelakon veteran Maimon Mutalib meninggal dunia pukul 2.20 petang, 7 September 2013, di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam.

Allahyarhamah menghembuskan nafasnya yang terakhir setibanya di rumah selepas dibenarkan keluarkan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya.

Allahyarhamah disahkan menghidap kanser payu dara tahap keempat pada 2012.

Pelakon drama dan filem terkenal itu meninggalkan lima orang anak, Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16.  [Astro Awani]



Rosnah Mohd Noor meninggal dunia

Pelakon popular tahun 1980-an, Rosnah Mohd Noor meninggal dunia pada 4 Ogos, pukul 2.55 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beita itu dimaklumkan rakan Allahyarhamah, Zaridah Ishak.  "Rosnah sudah pun meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi. Dan kini saya bersama keluarganya sibuk menguruskan jenazah. Buat masa ini kami belum pasti lokasi pengebumiannya.

"Kami sedang berbincang," katanya lapor mStar Online.

Terdahulu, mStar Online pada 27 Februari lalu pernah melaporkan Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini.

Allahyarhamah sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982).

Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20.

Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta Kuala Lumpur.

Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.  [Sinar Harian]


Latifah Omar meninggal dunia

9 Jun 2013 - Seniwati Latifah Omar dilaporkan meninggal dunia di Pusat Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), kira-kira pukul 6.20 petang tadi.

Latifah Omar meninggal dunia

Allahyarhamah sebelum ini dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM setelah menjalani pembedahan akibat penyakit ulser.

Pelakon veteran yang berusia 74 tahun itu dimasukkan ke wad setelah mengadu sakit perut dan mengalami muntah-muntah pada Khamis lalu sebelum dibawa ke hospital.

Menurut pelakon veteran, Datuk Mustapha Maarof yang juga rakan baik Allahyarhamah, seniwati yang merupakan pelakon era tahun 1950-an itu sebelum ini telah menjalani pembedahan pada bahagian perutnya dan tidak sedarkan diri selepas pembedahan tersebut.

Allahyarhamah yang suatu masa dahulu sering digandingkan dengan seniman Nordin Ahmad di layar perak pernah membintangi banyak filem antaranya Panggilan Pulau, Laila Majnun, Gurindam Jiwa, Bawang Putih Bawang Merah dan Naga Tasik Chini.  [Sinar Harian , Kosmo , Utusan Malaysia]


S. Shamsuddin meninggal dunia

S. Shamsuddin meninggal dunia
4 Jun 2013 - Pelakon komedi Singapura seniman S. Shamsuddin meninggal dunia jam 10.56 pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura.

Berita sedih ini dimaklumkan oleh anak allahyarham, Noredah S. Shamsuddin.

Pelakon komedi era P.Ramlee ini pernah membintangi lebih 25 buah filem. Antaranya terkenal menerusi filem Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok, Nujum Pak Belalang, Seniman Bujang Lapok dan Penyamun Tarbus.

Filem terakhir lakonannya berjudul Eee...Hantu!!!!! arahan Majed Salleh.     [Sinar Harian , Kosmo]


Datuk Yahya Sulong meninggal dunia

6 Februari 2013 - Pelakon veteran dan pelawak, Datuk Yahaya Sulong, 84, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur hari ini akibat sakit tua dan menghidap komplikasi pelbagai penyakit termasuk asma.
 
Presiden Seniman Malaysia Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu dan berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6:45 petang.
 
"Malam ini jenazah akan dibawa untuk dimandi dan disemadikan di Teluk Intan, Perak," katanya.
 
Filem pertama lakonan Yahaya ialah Abu Nawas dan sehingga kini beliau telah berlakon dalam 24 buah filem.
 
Antara filem lakonannya dalam era 80-an sehingga kini termasuk Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Da Di Du, Toyol, Prebet Lapok dan Senario The Movie.
 
Allahyarham juga popular dengan sitkom televisyen seperti Hang Setia bersama Allahyarham R.Jaafar, Param dan Hamid Gurkha serta siri Si Jantung Hati.
 
Allahyarham mempunyai 11 orang anak dan meninggalkan balu, Datin Alisah Ali (telah meninggal dunia juga pada 12 April 2013).
 
Keluarga berkenaan menetap di Flat Seri Perak, Bandar Baru Sentul.   [Bernama , Tupai]


Innaalillah .. wa Allahummaghfirlahum warhamhum .......





Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (54) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (49) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (334) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.